Pendidikan Islam yang akan mencorakkan masyarakat Islam bukanlah sistem pendidikan yang berasaskan sesuatu yang asing daripada Islam, diimport dari Barat atau yang telah disempurnakan dengan memasukkan beberapa unsur Islam ke dalamnya kerana sebagai contoh kebanyakan sistem yang ada ketandusan aspek-aspek kerohanian.
Sesuatu sistem pendidikan hanya dapat dianggap sebagai sistem pendidikan Islam apabila segala prinsip, kepercayaan serta kandungannya berasaskan Islam. Pendidikan Islam yang terdapat dalam al-Quran adalah pendidikan yang menyeluruh, tidak terbatas kepada ibadat dan melupakan tingkah laku, atau memberatkan individu dan melupakan amal, tetapi meliputi segala kehidupan manusia.
Antara tujuan khas pendidikan Islam juga telah dikemukakan oleh al-Syaibani, iaitu:
- (a) memperkenalkan generasi muda dengan aqidah Islam, dasar-dasarnya, usul-usul ibadah, dan cara-cara melaksanakannya dengan betul, membiasakan mereka mematuhi aqidah Islam dan menjalankan serta menghormati syiar-syiar ad-din;
- (b) menumbuhkan kesedaran yang betul dalam diri anak-anak terhadap din, termasuk prinsip-prinsip, dan dasar-dasar akhlak yang mulia, menyedarkannya akan bid’ah, khurafat, kepalsuan dan kebiasaan usang yang melekat tanpa disedari, sedangkan Islam bersih;
- (c) menanamkan keimanan kepada Allah, malaikat, rasul, kitab-Nya dan hari akhirat berdasarkan kefahaman, kesedaran dan kehalusan perasaan;
- (d) mendidik naluri, motivasi dan keinginan anak-anak, membentenginya dengan aqidah dan nilai-nilai syara’ serta membiasakan mereka menahan rang-sangan dalaman, mengatur emosi dan membimbingnya dengan baik; dan
- (e) membersihkan hati anak-anak daripada sifat dengki, hasad, iri hati, benci, kasar, zalim, ego, menipu, khianat, nifak, ragu- ragu serta sifat-sifat buruk dan hina.
DASAR PENDIDIKAN ISLAM
Pendidikan Islam berasaskan aqidah dan syariat Allah SWT. Kesyumulan Islam, seperti yang dijelaskan di atas, terjelma dalam sistem atau manhaj pendidikan. Pendidikan atau tarbiyah Islam dilaksanakan untuk mengembangkan tasawwur (konsep) dan kefahaman terhadap kehidupan berlandaskan al-Quran di dalam jiwa anak-anak. Asas dan teras sistem pendidikan ini adalah hakikat tauhid kepada Allah. Di dalam al-Quran (dan Sunnah Rasulullah) terdapat metodologi (kaedah) untuk mendidik manusia. Metodologi itu telah terbukti berkesan mendidik generasi awal. Rahsia utama kejayaan metodologi itu ialah memahami jiwa manusia yang tidak ubah bagaikan peti yang berkunci rapat manakala memahami jiwa menjadi kuncinya. Sebenarnya sistem pendidikan yang paling berkesan dan mampu membawa perubahan menyeluruh dalam diri manusia adalah sistem pendidikan yang berupaya berbicara dengan jiwa. Hanya pendidikan Islam sahaja mempunyai metodologi itu dan mampu merawat jiwa manusia.
Dalam mendidik manusia, Islam memberikan penjelasan mengenai hakikat manusia, alam, penciptanya serta hubungan antara ketiga-tiganya. Keberkesanan dan keunggulan pendidikan Islam dalam membangunkan diri manusia adalah kerana penjelasan mengenai perkara itu perolehi daripada Allah SWT (menerusi al-Quran). Kepincangan sistem-sistem pendidikan di barat mahupun di timur adalah kerana kekaburan dalam memahami perkara-perkara di atas.
RUANG LINGKUP PENDIDIKAN BERASASKAN AL-QURAN
Pendidikan Islam boleh dibahagikan kepada beberapa aspek yang merangkumi seluruh fakulti manusia. Aspek-aspek tersebut ialah:
(a) Pendidikan Kerohanian dan Keimanan
(b) Pendidikan Akhlak
(c) Pendidikan Akal
(d) Pendidikan Jasmani
KEIMANAN DAN KEROHANIAN ASAS PENDIDIKAN
Pendidikan keimanan bermaksud memperkenalkan kepada anak-anak dengan unsur-unsur keimanan, membiasakan dirinya dengan rukun Islam serta mendidiknya dengan prinsip-prinsip syariat yang mulia sejak usia tamyiz (berakal) lagi.
Yang dimaksudkan dengan unsur-unsur keimanan ialah semua perkara yang berkaitan dengan hakikat keimanan serta perkara-perkara yang ghaib seperti beriman kepada Allah, malaikat, kitab-kitab-Nya, Rasul dan dengan rukun iman yang lain.
Metod pendidikan keimanan dan kerohanian yang berasaskan al-Quran telah dijelaskan dengan panjang dan terperinci oleh Muhammad Qutb di dalam bukunya, ‘Manhaj Tarbiyah Islamiyah’. Antara perkara penting yang dikemukakan oleh Muhammmad Qutb ialah:
- (a) meningkatkan kepekaan hati terhadap ciptaan-ciptaan Allah (alam semesta) dan membawa hati merasakan kewujudan Allah serta kekuasaan-Nya yang tidak terbatas;
- (b) meningkatkan kepekaan hati dengan merasai Allah memerhati diri kita pada setiap masa dan di semua tempat serta setiap sesuatu berada di dalam pengetahuan Allah dan Dia akan memberi balasan bagi setiap perkara tersebut;
- (c) meningkatkan ingatan terhadap Allah dengan perasaan taqwa dan tunduk terus menerus kepada-Nya;
- (d) meningkatkan rasa cinta terhadap Allah dan berusaha secara berterusan untuk memperolehi keredhaan-Nya; dan
- (e) meningkatkan rasa damai dan tenteram bersama Allah ketika berada dalam keadaan apa sekalipun, serta menerima takdir-Nya dengan ikhlas dan senang hati.
Dalam sistem pendidikan Islam, unsur alam digunakan untuk menyedarkan hati dalam melahirkan perkara-perkara di atas. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh mengenai alam bagi membangunkan kepekaan hati manusia. Al-Quran membangunkan indera manusia untuk mengenal Tuhannya, melihat kekuasaan-Nya di dalam benda-benda yang kecil mahupun yang besar, benda yang mudah atau yang kompleks. Semuanya membuktikan kekuasaan dan keperkasaan Allah serta keagungan dan kehebatan kreativiti-Nya. Al-Quran mendidik akal dan hati sekaligus. Hanya dengan sentuhan ke atas akal dan hati, akan terbina aqidah yang mantap dan sahih.
ALAM SEBAGAI KITAB TERBUKA
Oleh demikian, sejak peringkat awal lagi pendidikan anak-anak perlu dimulakan dengan pembinaan dan pengukuhan iman. Usaha ini dapat dilakukan dengan mendekatkan anak-anak dengan alam yang terbentang luas, umpama kitab yang terbuka, untuk mem-perkenalkan anak-anak kepada penciptanya.
Pendekatan ini bukanlah pendekatan yang baru kerana sekiranya kita membuka dan mengkaji al-Quran, terutama surah-surah Makkiyah, kita akan dapati Allah SWT telah memperkenalkan diri-Nya dengan menga- lihkan pandangan manusia daripada memandang kehidupan ini dengan akal dan hati yang kosong kepada memandang alam sekeliling dengan kekaguman sehingga membuahkan penyerahan dan pengabdian kepada Allah Rabbul ‘Alamin.
Hari ini kita bukan saja dapat mendedahkan anak-anak kepada alam persekitaran mereka, bahkan dengan bantuan alat-alat audio-visual yang canggih kita dapat mempamerkan kehebatan kuasa Allah sebagai pencipta, pentadbir dan penguasa alam ini kepada mereka.
METOD PENDIDIKAN ISLAM
Setelah kita memahami tujuan dan dasar pendidikan Islam, kita perlu memahami metod yang boleh digunakan untuk merealisasikan sistem ini. Berdasarkan tulisan Muhammad Qutb dan an-Nahlawi, metod pendidikan Islam boleh dirumuskan seperti berikut:
(a) mendidik melalui dialog Qurani dan Nabawi;
(b) mendidik melalui kisah Qurani dan Nabawi;
(c) mendidik melalui perumpamaan;
(d) mendidik melalui teladan;
(e) mendidik melalui amal perbuatan;
(f) mendidik melalui ‘ibrah dan mau’izhah; dan
(g) mendidik melalui targhib dan tarhib.
MASALAH PELAKSANAAN PENDIDIKAN JANGKA PENDEK
Permasalahan anak-anak telah memasuki satu fasa apabila ibu bapa, dalam keghairahan menyediakan anak-anak untuk memasuki alam pendidikan, telah terperangkap dalam pendekatan yang kelihatan ‘Islamik’ tetapi pada pandangan saya tidak memenuhi sepenuhnya hakikat pendidikan Islam.
Akhir-akhir ini banyak ibu bapa dan institusi pendidikan, mendidik anak-anak berasaskan pendekatan pendidikan yang diilhamkan oleh dunia Barat. Walaupun sebahagian pendekatan ini telah diubahsuai, pada dasarnya pendekatan itu tetap bukan pendidikan Islam. Sekiranya dianalisis sistem-sistem pendidikan ini, kita akan sampai kepada satu kesimpulan bahawa seluruh sistem pendidikan ini tiada kaitan dengan pendidikan berteraskan hakikat Rabbaniyah. Sistem-sistem ini sama ada dari segi falsafah, objektif, mahupun natijah yang di-harapkan, sangat berbeza daripada hakikat pendidikan di dalam tasawwur Islam. Sistem pendidikan Barat mungkin mampu untuk menghasilkan anak-anak pintar cerdas dan merealisasikan potensi aqli dan jasmani kerana memang itu matlamat pendidikan mereka. Walaupun penekanan moral diberi ruang dalam sistem ini, sistem moral bukan Islam sudah pasti tidak dapat menghasilkan sistem moral Islam, sekalipun kita berusaha untuk menempelkan kekurangannya dengan menggabungkan unsur-unsur Islam ke dalamnya.
Iqbal pernah mencatatkan: “Sistem pendidikan Barat mampu membawa anak-anak kita mengkagumi dan mempelajari kemajuan teknologi, tetapi tidak bagi mendidik mata anak-anak untuk menangisi dosa-dosanya dan mendidik hati mereka supaya takut hanya kepada Penciptanya”.
Sebenarnya terdapat perbezaan yang besar antara mengambil kaedah pengajaran dan pembelajaran berdasarkan pendekatan tokoh-tokoh Barat dengan mengambil sistem pendidikannya. Saya berpendapat meman-faatkan kajian-kajian yang telah dijalankan oleh sesiapa pun mengenai kaedah-kaedah pendidikan atau teknik-teknik menguasai sesuatu kemahiran yang berkesan merupakan usaha yang sangat baik. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Hikmah itu adalah barang yang tercicir. Barang siapa yang menjumpainya maka dialah yang lebih berhak memiliknya.”
Oleh itu kita boleh dan sewajarnya memanfaatkan kajian-kajian yang dijalankan oleh Barat, terutama dalam bidang latihan kemahiran hidup seperti membaca, menulis dan mengira. Begitu juga dengan kajian mereka menge-nai teknik berfikir dan pembangunan jasmani.
Bagaimanpun, yang dibimbangi ialah kita mengambil seluruh sistem pendidikan yang mereka kemukakan, kerana ini akan merosakkan lantaran matlamat dan falsafah pendidikan mereka tidak berasaskan tauhid dan keimanan. Sistem mereka hanya mampu melahirkan anak-anak yang pintar tetapi jiwa tetap kosong. Yang lebih membimbangkan ialah lahir tasawwur yang terpisah antara aspek kerohanian dan moral dengan aspek-aspek pendidikan lain. Pendekatan segolongan muslim yang berpegang kepada sistem Barat dan cuba memperbaiki kekurangannya dengan memasukkan unsur-unsur Islam, juga tidak banyak membantu, malah akan mengelirukan masyarakat Islam. Langkah-langkah ini tidak jauh bezanya daripada pendekatan pendidikan sekular yang wujud hari ini
2 Respon:
Salam...Dlm kehidupan sekrg yg penuh dgn liku2, medan dlm mendidik anak2 semakin mencabar bg membentuk mrk menjadi insan yg bertakwa dan berguna. Realiti sekrg, ramai di kalangan mrk mempunyai ibubapa dan keluarga yg komited dgn Islam, ttp si anak memberontak dan berjiwa pemberontak. Jadi, Ibubapa mesti kreatif dan bijak dlm mendidik anak2 seta pandai mengimbangi pendidikan rohanai dan jasmani kpd mrk...
salam...seperti yang Islam gariskan pada kte sume...Islam tu adlah dasar utama..jika mau kan kejayaan..dlam semua perkara..Ada Islam Ada kejayaan.
Post a Comment